10 Persoalan Yang Sering Ditanya Tentang Majlis Aqiqah
Setiap keluarga yang baru mendapat bayi pasti terfikir untuk mengadakan majlis aqiqah bagi menyambut kelahiran bayi tersebut.
Dalam Islam, kita digalakkan melaksanakan aqiqah untuk bayi yang baru lahir. Ia merupakan sembelihan binatang yang dilakukan sebagai tanda bersyukur kepada Allah atas kelahiran anak.
Terdapat hukum-hukum aqiqah dan persoalan-persoalan yang sering ditanyakan. Dalam artikel ini, kami huraikan dengan lebih lanjut.
Syarat Aqiqah
Kadar aqiqah bagi anak berbeza mengikut jantina. Jika anak itu dilahirkan sebagai lelaki, disunatkan menyembelih dua ekor kambing dan perempuan pula, seekor kambing.
Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.
Riwayat Abu Daud (2842)
Selain kambing, ada yang memilih untuk mengorbankan haiwan lain seperti lembu, kerbau, unta, kibas, biri-biri dan lain lain.
Lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sebanyak 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Jumhur ulamak berpendapat aqiqah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sama seperti ternakan ibadah korban.
Unta atau seekor lembu juga dibolehkan berkongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.
Bagi haiwan lain, kadar mereka berbeza dan tidak sama juga mengikut umurnya:
Jenis Haiwan | Umur Minima |
1. Kibas | Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan |
2. Biri-biri, domba dan kambing | melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan / hadapannya |
3. Lembu dan kerbau | melebihi dua tahun |
4. Unta | melebihi lima tahun |
Haiwan aqiqah ini juga haruslah tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
1. Sunat Aqiqah
Aqiqah adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan bagi yang berkemampuan.
Hadith dari Salman Bin Amir al-Dhabbi RA berkata : Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Yang bermaksud: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.
Riwayat al-Bukhari (2839)
Malah ada beberapa sunat yang dianjurkan seperti doa semasa menyembelih.
Disunatkan membaca ini:
(sebut nama anak)
Maksudnya: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini aqiqah…”.
2. Lewatkan Aqiqah Selepas Hari ke-7
Boleh dilakukan sekiranya mempunyai kekangan masa asalkan dilakukan sebelum anak tersebut mencecah usia baligh.
Selepas baligh, gugurlah tuntutan untuk membuat aqiqah dari ayah dan berpindah kepada anaknya itu sendiri.
Ulamak yang berbeza mazhab bersepakat mengatakan waktu melaksanakan aqiqah adalah afdhal pada hari ketujuh kelahiran anak tetapi berbeza pendapat tentang melewatkan aqiqah.
Secara rumusnya ini merupakan had waktu yang diberikan berbeza mengikut mazhab.
Umur Paling Lewat | Ulama |
Tepat hari ke-7 tidak boleh selepas atau sebelum | Imam Malik |
Pada hari 7, 14, 21 atau setiap 7 hari berikut sehingga anak mencapai usia baligh. Selepas baligh, tiada lagi aqiqah baginya | Mazhab Hanbali |
Hingga mencapai usia baligh. Selepas baligh, gugur tuntutan aqiqah dari ayahnya, namun ia boleh mengaqiqahkan dirinya sendiri. | Mazhab Syafie’ |
3. Selagi Belum Diaqiqahkan, Tidak Boleh Mengaqiqahkan
Ini adalah tidak benar kerana aqiqah adalah sunat muakkad. Bukan kewajipan tetapi hanya untuk yang berkemampuan.
4. Anak Meninggal Dunia Tidak Sempat Untuk Aqiqah
Sekiranya ibu bapa mampu, ianya digalakkan. Pendapat yang berbeza kepada bayi yang meninggal dunia. Ada yang mengatakan gugur sunat amalan tersebut dengan kematian.
Ini juga termasuk di dalam konteks sekiranya bayi yang dikandung itu meninggal dalam kandungan. Sekiranya mampu, digalakkan membuat aqiqah untuk bayi tersebut.
5. Aqiqah Anak Yatim
Tidak disunatkan membuat aqiqah untuk anak yatim. Tuntutan aqiqah hanya ditujukan kepada pihak yang wajib memberikan nafkah sahaja – iaitu seorang ayah.
Jika ayah tidak mampu, tuntutan ini berpindah kepada datuknya, selain itu, orang lain tidak dituntut kecuali anak itu sendiri ingin membuat aqiqah setelah dewasa.
6. Sisa Majlis Aqiqah Wajib Ditanam
Ramai menggunakan khidmat katering untuk menguruskan majlis aqiqah anak mereka. Jadi persoalan sisa sentiasa berbangkit. Tiada dalil khusus atau ijtihad ulamak menetapkan demikian. Sisa aqiqah boleh dibuang seperti biasa.
7. Aqiqah untuk Majlis Perkahwinan
Prinsip pengagihan daging aqiqah, hendaklah dibahagikan kepada tiga.
1. Untuk fakir miskin – aqiqah, daging boleh diberikan secara mentah atau dimasak.
2. Sebahagian untuk saudara mara atau kenalan.
3. Sebahagian untuk dimakan sendiri atau pelaku ibadah.
Cuma bahagiannya tidak ditetapkan.Ada ulama menetapkan ianya dibahagikan sama rata kepada 1/3 untuk setiap golongan.
8. Haiwan Mati Sebelum Disembelih
Haiwan yang mati sebelum disembelih bukanlah dikira seperti ibadah aqiqah telah dilaksanakan. Umpamanya, anda ingin solat setelah mengangkat takbir tiba-tiba anda terkentut.
Jadi anda perlu mengambil wuduk semula. Sama seperti hal ini. Jika anda masih mahu melakukan ibadah aqiqah, anda perlu mendapatkan haiwan gantian.
9. Perlu Dimasak Manis
Saranan para ulamak, elok juga dimasak manis tapi tidak semestinya. Ikutlah kesesuaian hendak dimasak gulai, kurma, madu atau apa sahaja.
10. Daging Aqiqah Untuk Bukan Muslim
Tiada dalil atau pendapat ulamak meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja.
Namun, lebih baik penerimanya adalah orang islam supaya penerima boleh berdoa untuk si anak selepas menerima hasil aqiqah.
Mereka boleh menerimanya tetapi bukan keseluruhan bahagian. Boleh rujuk di sini.
Secara rumusnya, majlis aqiqah seharusnya sederhana serta mengikut sunnah nabi dan mengelakkan pembaziran.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan anda sedikit maklumat tambahan mengenai ibadah sunat ini.
Harapnya ibadah yang ikhlas ini mendapat keberkatan Allah untuk memulakan hidup dengan bayi yang baru dilahirkan. Semoga majlis aqiqah anda membawa keberkatan kepada anak anda.
Untuk memudahkan aqiqah anak anda, anda boleh menyumbangkan daging aqiqah anda kepada golongan yang memerlukan di Kemboja.
Berminat untuk mengetahui lebih lanjut? Boleh klik di sini.